Sunday 6 December 2015

Adat Perkahwinan Mengikut Negeri

ADAT ISTIADAT NEGERI MELAKA

Unsur-unsur kebudayaan dalam perkahwinan orang Melayu Melaka, berjalan berperingkat mengikut tertib dan menjadikan warisan adat resam ini sesuatu yang unik. Masyarakat di pinggir pantai Melaka mengamalkan unsur adat yang berlainan dengan masyarakat di bahagian barat.

Terdapat dua cara digunakan bagi amalan dalam menentukan jodoh atau mencari jodoh iaitu berdasarkan kesanggupan kedua belah pihak lelaki dan perempuan. Kaedah pertama adalah pemilihan pihak lelaki itu sendiri dan kaedah keduanya melalui pilihan ibu bapanya. Kaedah kedua pula, pemilihan dibuat oleh ibu bapa si teruna setelah berkenan akan seseorang gadis yang dipilih untuk menjadi bakal menantunya dan diberitahu kepada anak terunanya.

Merisik ialah cara untuk mengetahui sama ada si gadis sudah berpunya atau belum. Rombongan merisik biasanya dibuat oleh saudara atau keluarga terdekat.
Upacara meminang si gadis akan dibuat hanya setelah keluarga gadis itu memberi persetujuan. Kerja meminang dilakukan oleh wakil kedua-dua belah pihak.
Semasa upacara menghantar tanda, sebentuk cincin akan dihantar untuk disarungkan ke jari tunangannya. Adat menyampai dan menerima cincin dilakukan di rumah gadis tersebut..
Upacara hantar belanja dijalankan pada tarikh yang telah dipersetujui dan sekali lagi rombongan pihak lelaki datang ke rumah pihak perempuan. Mereka akan saling bertukar hantaran serta iringan setelah kedua pihak menghuraikan janji dan menyelesaikan masalah yang bersangkutan.

Jika dijalankan upacara menghantar belanja pada siang hari, maka malamnya pula diadakan majlis 'menyerambi bertunang'. Adat ini dilakukan di serambi rumah.
Pihak ibu bapa pengantin lelaki akan membuat acara menjemput tetamu iaitu menjemput orang-orang tua kampung untuk memberitahu majlis perkahwinan yang akan diadakan. Mereka akan membuat tepak sirih dan meminta sanak saudara serta sahabat handai datang ke rumahnya untuk bersama-sama meraikan majlis itu.
Majlis berinai curi diadakan pada waktu malam di rumah pengantin perempuan. Mulai malam tersebut, jari-jari dan tapak tangan serta keliling tapak kaki pengantin perempuan diinai. Berinai curi biasanya diadakan sekurang-kurangnya satu malam tapi biasanya ia diadakan tiga malam.

Malam berikutnya majlis berinai kecil diadakan. Ianya disertai oleh pengantin lelaki.
Keesokan harinya diadakan istiadat berandam di mana upacara memotong rambut di bahagian depan kepala dijalankan oleh tukang andam. Pengantin perempuan biasanya dicukur anak rambut di dahi serta di pelipisnya. Pada petang itu juga diadakan upacara mandi berhias. Biasanya upacara ini memerlukan sebiji kelapa muda ditebuk berbentuk pucuk rebung, beras basuh, sirih berkapur, gunting, kain putih, tepung tawar dan ikatan dua sepilih dan daun ribu-ribu. Mandi berhias dijalankan ke atas kedua pasangan pengantin dan biasanya dibuat di serambi atau pelantar tengah berhadapan dengan pintu luar rumah didahului oleh pengantin lelaki dan diikuti oleh pengantin perempuan.

Upacara akad nikah dijalankan pada malam selepas mandi berhias dan sebelum majlis berinai. Pakaian pengantin lelaki serba putih kecuali songkok dan kasut.
Setelah selesai upacara akad nikah, majlis berinai besar dilakukan di atas pelamin dengan dimulai oleh pengantin lelaki. Ahli-ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan upacara itu.
Hari persandingan juga disebut hari langsung yang diadakan pada hari esoknya. Jamuan di rumah pengantin perempuan akan diadakan secara besar-besaran. Pengantin lelaki akan menuju ke rumah pengantin perempuan dengan diiringi dengan pukulan rebana dan sanak saudaranya untuk upacara persandingan.

Makanan disediakan di bilik pengantin di mana peneman-peneman pengantin lelaki turut bersama dan mereka akan dilayan oleh pengantin perempuan. Mak Andam merupakan orang utama di dalam majlis itu (makan damai). Pada malamnya pula, sekali lagi diadakan majlis makan yang dihadiri oleh waris dari kedua belah pihak. Di dalam majlis ini, besan dengan besan akan duduk bersama dan kedua pengantin akan berkenalan dengan waris dan sanak saudara dari kedua belah pihak.

Majlis jemput menantu ini diadakan untuk pengantin perempuan yang dijemput ke rumah pengantin lelaki berserta pengiring-pengiringnya. Rombongan pengantin perempuan tidak akan ke rumah bapa mertuanya selagi pengantin lelaki dan pengiring-pengiringnya tidak datang menjemput . Kedatangan pengantin lelaki digelar sebagai 'balik minum air'.
Setelah pengantin perempuan pulang ke rumahnya, pengantin lelaki akan tidur di rumah isterinya pula. Pengantin lelaki akan menyembahkan tepak sirih ketika menjelang subuh kepada bapa mertuanya. Acara ini dipanggil malam satu.






ADAT ISTIADAT NEGERI KEDAH


  Tahap-tahap istiadat yang hendak dijalankan perlulah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Istiadat-istiadat yang berlangsung dalam Istiadat Perkahwinan adalah Merisik, Meminang, Meletak Kerja, Berinai (besar dan kecil), Menerima Hantaran, Bersanding/Merenjis dan Bersiram.

Tahap pertama merupakan istiadat merisik dengan disusuli Istiadat Meminang. Setelah selesai Istiadat Meminang dan setelah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah, Istiadat Meletak Kerja disempurnakan. Dalam Istiadat ini, warkah peminangan dan segala hantaran dipersembahkan. Istiadat Meletak Kerja berikutnya didahului dengan paluan Nobat dan tembakan meriam sembilan das. Istiadat Berandam dilangsungkan selepas Istiadat Meletak Kerja dan dijalankan oleh Mak Andam dengan menggunakan peralatan istiadat yang diwarisi sejak dahulu. Pengantin Puteri ditepung tawar dan disintuk limau sebelum dimandikan.

Istiadat Berinai Kecil dilangsungkan selepas Istiadat Berandam. Istiadat Berinai Kecil hanya melibatkan kaum wanita sahaja. Kerja memetik inai di tambak inai disempurnakan oleh pawai perermpuan dengan iringan muzik tradisional. Tahap seterusnya merupakan Istiadat Hantaran dan Penerimaan Mas Kahwin serta Akad Nikah. Tempatnya berlangsung di Dewan Penghadapan.

Istiadat Berinai Besar diadakan pada sebelah malam pada hari yang sama dengan Istiadat Penerimaan Mas Kahwin dan Akad Nikah. Dalam Istiadat Berinai Besar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan ahli-ahli Kerabat DiRaja yang kanan merenjis dan menepung tawar Pengantin DiRaja Putera. Manakala Pengantin DiRaja Puteri pula direnjis dan ditepung tawar oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dan ahli-ahli Kerabat DiRaja yang lain.

Kemuncak Istiadat Perkahwinan ialah Istiadat Persandingan yang berlangsung serentak dengan Majlis Santapan Malam. Kedua-dua pasangan mempelai bersanding di atas peterana, dan kemudiannya dibawa pula ke Geta Kirana. Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Permaisuri-Permaisuri negeri-negeri turut merenjis dan menepung tawar kedua pasangan mempelai.

Selang beberapa hari diadakan pula Istiadat Berlimau yang berlangsung di panca persada. Kedua-dua mempelai dirinig ke panca persada dengan iringan paluan Nobat. Istiadat Menyambut menjadi istiadat yang terakhir di dalam Istiadat Perkahwinan DiRaja. Istiadat ini diadakan di Dewan Penghadapan dengan dihadiri oleh Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Sultanah, kaum Kerabat, pembesar-pembesar negeri serta dif-dif jemputan.

sumber rujukan: http://www.mykedah2.com



ADAT ISTIADAT NEGERI SABAH

Mengikut tradisi masyarakat Murut, anak-anak mereka berkahwin dalam usia yang masih muda iaitu sekitar 13 tahun bagi anak perempuan dan 15 hingga 18 tahun bagi anak lelaki. Ibu bapa bertanggungjawab dalam memilih pasangan hidup anak-anak mereka Dalam adat perkahwinan masyarakat Murut, sistem barian iaitu hantaran sampai mati atau barian kahwin seumur hidup diamalkan. Sistem ini dianggap sebagai tunjang adat bagi mengukuhkan tali persaudaraan antara ibu bapa dan anak perempuan yang telah berkahwin. Pada asasnya, adat perkahwinan masyarakat Murut merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.
Merisik Adat ini sama seperti adat merisik yang diamalkan oleh masyarakat lain. Ia bertujuan untuk mempastikan perempuan yang dihajati oleh seseorang lelaki itu masih belum berpunya atau belum dirisik oleh orang lain. Ibu bapa pihak lelaki terlebih dahulu akan menyampaikan hasrat mereka kepada keluarga perempuan. Dalam hal ini keluarga pihak perempuan akan memutuskan samada risikan itu diterima atau sebaliknya berdasarkan kepada persetujuan anak perempuan mereka. Seterusnya adat meminang dan bertunang pula akan menyusul.

Walaupun tidak dinyatakan adat meminang yang khusus, namun pada dasarnya adat meminang yang diamalkan oleh Masyarakat Murut menyerupai adat meminang yang dijalankan oleh masyarakat lain. Ini termasuklah dari segi penghantaran wakil sebagai meminang dan barangan tertentu yang dibawa semasa meminang.

Setelah kedua-dua pihak bersetuju dengan peminangan tersebut, adat pertunangan akan dijalankan. Upacara pertunangan biasanya berlangsung selama sepuluh hari. Semasa perbincangan dijalankan, beberapa orang saudara daripada pihak lelaki akan dijemput di samping ketua kampungnya dan ketua kampung daripada pihak isteri sebagai saksi utama. Perbincangan akan berkisar tentang mas kahwin dan hal-hal lain berkaitan perkahwinan.

Majlis perkahwinan lazimnya akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Kelazimannya upacara perkahwinan dilangsungkan selama lima hari berturut-turut. Tiga hari yang pertama dijalankan di rumah pengantin perempuan manakala hari selebihnya dilangsungkan di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan akan memakai pakaian asli gadis Murut dan berhias cantik pada hari tersebut.


sumber rujukan: http://malaysiana.pnm.my



 ADAT ISTIADAT NEGERI SEMBILAN


Di dalam Adat Perpatih institusi perkahwinan dijadikan salah satu charter kepada struktur dan organisasi masyarakat sebagaimana dinyatakan dalam perbilangan:

Hutang atas lima perkara:

“Pertama kerat pusat,
kedua upah bidan,
ketiga sunat rasul,
keempat khatam mengaji, tindik daing,
kelima nikah kahwin”.



Adat istiadat perkahwinan dalam Adat Perpatih disebut sebagai adat semenda menyemenda. Perkahwinan dalam masyarakat Adat Perpatih mempunyai identiti tersendiri kerana ia bukan hanya mengeratkan hubungan antara dua individu berlainan jantina tetapi juga merupakan penyatuan pertalian antara dua keluarga, dua rumpun, dua ruang, dua perut dan dua suku.

Dalam masyarakat adat di Negeri Sembilan perkahwinan dirujuk kepada perbilangan: “syarak tidak menghalang, adat tidak menggalang”. Ini bermakna perkahwinan hanya sah apabila diakadkan oleh wali atau wakilnya, bersaksi dan membayar mas kahwin (mahr) dan perkahwinan juga harus sah dari segi adat iaitu tidak melanggar pantang larang adat.

Adat perkahwinan masyarakat Adat Perpatih mempunyai norma perspektif dan preferential. Norma perspektif tersebut ialah eksogami iaitu seorang lelaki tidak boleh menikah dengan seorang perempuan daripada sukunya sendiri kerana mereka dianggap bersaudara. Walau bagaimanapun di sesetengah tempat dan suku, prinsip eksogomi terpakai kepada satu perut. Ini bermakna ada beberapa suku tertentu yang diizinkan oleh adat untuk melakukan perkahwinan indogami. Contohnya di Luak Rembau, suku Mungkal Perut Bukit boleh berkahwin dengan suku Mungkal Perut Tebal. Tetapi kedua-dua pecahan perut Bukit dan Keling tidak diizinkan berkahwin. Norma preferential adalah untuk melakukan perkahwinan silang pupu iaitu dengan anak gadis abang atau adik lelaki ibu dan dengan anak gadis kakak atau adik perempuan ayah.

Selain larangan perkahwinan berdasarkan hukum syarak, perkahwinan masyarakat Adat Perpatih juga mempunyai larangan berdasarkan adat iaitu larangan perkahwinan sesuku (indogami) atau Sumbang Balai Melintang dan larangan perkahwinan antara saudara pupu selari. Adat juga melarang poligami sesuku iaitu seorang lelaki berkahwin dengan dua atau lebih perempuan daripada suku yang sama.

Terdapat dua bentuk perkahwinan adat iaitu perkahwinan lazim atau biasa dan perkahwinan tidak lazim. Perkahwinan biasa akan bermula daripada merisik atau risik nan duai atau risik andai, diikuti dengan adat menghantar cincin tanya dan kemudian adat pinang meminang atau adat menghantar tanda (pihak lelaki) atau adat menerima tanda (pihak perempuan). Seterusnya diadakan hari langsung atau hari olek termasuklah upacara akad nikah, bertandang atau menyalang dan menikam jejak atau tempuh jejak. Adat perkahwinan diakhiri dengan adat menyalang rumah saudara-mara kedua-dua belah pihak. Perkahwinan tidak lazim ialah perkahwinan yang tidak mengikut peraturan adat. Aturcara perkahwinan ini adalah ringkas dan ia disebut kahwin orang berada dan dikatakan sebagai perbuatan orang berani. Perkahwinan tidak lazim dibolehkan dan dilembagakan oleh Adat Perpatih. Perkahwinan tidak lazim terbahagi kepada enam jenis iaitu nikah terkurung, nikah serah-menyerah, merumah, merebut rampas, adat mendapatkan dan adat beli laki.





-YANA-









Adat Perkahwinan Masyarakat Kadazan Dusun

ASSALAMUALAIKUM...

Perkahwinan merupakan sebuah hubungan yang terikat antara dua orang yang telah diiktirafkan oleh pihak berkuasa atau diikat oleh kepercayaan agama masing-masing.Bagi masyarakat kaum Kadazandusun, perkahwinan merupakan sebuah hubungan yang sangat mulia dan menandakan seseorang itu telah cukup dewasa untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Oleh yang demikian, masyarakat ini akan meraikan majlis perkawinan mereka dengan begitu meriah selama 3 hari berturut-turut. Perkahwinan masyarakat Kadazandusun ini kebanyakannya dilakukan mengikut adatistiadat yang telah diwarisi secara turun-temurun oleh nenek moyang mereka bermula dari merisik, meminang, bertunang dan diakhiri dengan majlis perkahwinan.

Merisik

Sebelum sesuatu upacara perkahwinan dilangsungkan, keluarga kedua-dua pihak akan mengatur segala persiapan yang diperlukan. Dalam hal ini perkara yang diutamakan adalah tentang pemberian sebentuk cincin. Cincin ini menjadi tanda peminangan daripada pihak lelaki. Sebelum peminangan dibuat, pihak lelaki melantik seorang tua yang bukan terdiri daripada keluarga terdekat lelaki berkenaan. Segala urusan merisik dan juga pinang-meminang ini mesti dibuat pada waktu pagi. Waktu petang dan malam tidak dibenarkan sama sekali. Wakil pihak lelaki pergi merisik kepada ibu bapa perempuan yang hendak dipinang itu atau pengganti ibu bapa jika ibu bapa perempuan itu sudah tidak ada.
Risikan pertama dilakukan untuk mengetahui sama ada perempuan berada dalam proses risikan orang lain atau dia sedang dalam pertunangan. Kalau perempuan itu dalam pertunangan, risikan ifu dihentikan serta-merta. Kalau perempuan itu didapati sedang dalam proses risikan daripada lelaki lain, risikan itu ditangguhkan buat sementara, sehingga keputusan muktamad diperoleh daripada risikan terdahulu itu. Jika risikan yang terdahulu bertukar ke arah pertunangan, maka risikan yang kemudian itu terus dibatalkan. Tetapi jika gagal, risikan yang kemudian itu boleh diteruskan.
Risikan ini dibuat berulang kali, peringkat demi peringkat dan adakalanya memakan masa sehingga berhari-hari, malah ada yang sampai berbulan-bulan. Ini disebabkan banyak perkara yang mesti diketahui dengan jelas oleh ibu bapa perempuan terhadap keluarga yang merisik anaknya. Antaranya ialah susunan keluarga, kemampuan, pekerjaan dan seumpamanya.

Meminang

Apabila ibu bapa perempuan mendapati risikan itu boleh dipertimbangkan, mereka akan menentukan hari bagi wakil pihak lelaki datang membawa cincin pusaka (dibuat daripada tembaga). Cincin itu juga digelar 'cincin menanti mimpi'. Cincin itu mesti dibawa pada waktu pagi.


Bertunang


Setelah selesai mesyuarat keluarga, ibu bapa perempuan memanggil wakil pihak lelaki untuk memberitahu tentang keputusan mimpi mereka. Ketika itu juga cincin yang digunakan untuk menanti mimpi tadi dipulangkan. Waktu itu, wakil lelaki diberitahu sama ada boleh bertunang dengan membayar sugit kepanasan mimpi kerana mimpi buruk boleh dibaiki ataupun tidak boleh bertunang kerana mimpi buruk.
Jika mimpi baik, proses pertunangan diteruskan. Perundingan antara pihak lelaki dengan ibu bapa pihak perempuan hanya berkisar pada syarat-syarat hantaran perkahwinan, menentukan tarikh perkahwinan dan kadar besar atau lamanya pesta perkahwinan itu. Pertunangan yang telah ditetapkan tidak boleh diingkari. Jika tidak, pihak yang ingkar terpaksa membayar seluruh atau separuh hantaran yang sudah ditentukan ketika mengikat pertunangan dahulu. Bayaran ini dibuat di depan pengadilan adat.
Hantaran kahwin biasanya terdiri daripada pelbagai jenis makanan, alat untuk adat istiadat dan barang untuk memperteguhkan semangat. Barang hantaran untuk memperteguhkan semangat ini dikenali sebagai tasor. Tasor ialah tempat pinang yang diperbuat danipada tembaga atau perak. Tasor ini dibawa sendiri oleh pengantin pada hari perkahwinan. Alat untuk adat istiadat pula dinamakan tinokol iaitu terdiri daripada canang, gong dan tajau (tempayan). Jumlahnya menurut darjat orang yang berkahwin itu. Barangan ini juga dibawa pada hari perkahwinan. Jenis makanan pula ialah babi atau kerbau dan jumlahnya bergantung kepada kemampuan keluarga tersebut. Binatang tersebut diberikan kepada pihak perempuan dua atau tiga hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan. lni kerana binatang itu akan disembelih dan dimasak untuk upacara makan di rumah pengantin perempuan nanti.


Majlis Perkahwinan


Hantaran kahwin biasanya terdiri daripada pelbagai jenis makanan, alat untuk adat istiadat dan barang untuk memperteguhkan semangat. Barang hantaran untuk memperteguhkan semangat ini dikenali sebagai tasor. Tasor ialah tempat pinang yang diperbuat daripada tembaga atau perak. Tasor ini dibawa sendiri oleh pengantin pada hari perkahwinan. Alat untuk adat istiadat pula dinamakan 'tinokol' iaitu terdiri daripada canang, gong dan tajau (tempayan). Jumlahnya menurut darjat orang yang berkahwin itu.
Barangan ini juga dibawa pada hari perkahwinan. Jenis makanan pula ialah babi atau kerbau dan jumlahnya bergantung kepada kemampuan keluarga tersebut. Binatang tersebut diberikan kepada pihak perempuan dua atau tiga hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan. lni kerana binatang itu akan disembelih dan dimasak untuk upacara makan di rumah pengantin perempuan nanti. Sebuah tajau berisi tapai beras yang dinamakan lihing, mesti dibawa pada hari perkahwinan. Lihing ialah tapai yang sudah menjadi arak. Lihing diminum beramai-ramai dalam pesta kahwin di rumah pengantin perempuan.
Selain daripada empat hantaran yang menjadi asas bagi orang Kadazan, terdapat beberapa barangan lain yang turut dibawa untuk memperlengkap dan memperindahkan majlis hantaran itu. Ini terserah kepada janji yang dibuat semasa majlis pertunangan, juga berdasarkan kemampuan kedua-dua belah pihak. Serendah-rendah darjat perkahwinan itu mesti dibuat dengan upacara adat, pemujaan agama, pesta bersukaria dan makan minum. Sesingkat-singkat pesta pula adalah antara dua atau tiga hari di rumah pengantin perempuan.
Bagi mereka yang berkemampuan, majlis dibuat selama tujuh hingga empat belas hari. Walaupun perkahwinan pasangan suami isteri itu sudah sah di sisi agama dan kepercayaan, mereka masih belum boleh bersatu pada hari dan malam pertama. Paling cepat mereka hanya boleh bersatu pada malam kedua, malah ada yang mengambil masa selama seminggu atau dua minggu berikutnya. Kesemuanya ini bergantung kepada besar atau lamanya majlis perkahwinan itu diadakan. Untuk membolehkan pengantin ni bersatu, satu upacara khas dibuat. Pasangan pengantin tersebut dikehendaki makan di dalam pinggan dan mangkuk yang sama. Upacara ini dihadiri oleh keluarga kedua-dua pihak. Ibu bapa pengantin lelaki tidak boleh sama sekali hadir di rumah pengantin perempuan sebelum pasangan itu sah bersatu. Majlis perkahwinan orang Kadazan memakan masa selama tiga hari.

Perkara yang paling penting dalam upacara perkahwinan ialah miohon pinisi iaitu upacara menukar gumpalan nasi. Untuk memulakan upacara ini, pengantin lelaki dan perempuan duduk berhadapan di tengah-tengah bulatan gadis-gadis yang ber-pakaian tradisional berwarna hitam. Di hadapan mereka terletak seperiuk nasi dan kedua-dua pengantin akan menggenggam nasi dan periuk tersebut untuk dijadikan gumpalan sebesar telur ayam. Kemudian kedua-duanya akan bertukar-tukar gumpalan nasi itu, lalu dimakan. Upacara miohon pinisi merupakan nazar perkahwinan menurut cara tradisional. Setelah upacara ini dilakukan, makanan dan minuman pun dihidangkan kepada para tetamu yang hadir. Gong dibunyikan semula, diikuti dengan pertunjukan tarian sumazau.








-FASS-