Sunday 29 November 2015

Adat Perkahwinan Masyarakat India

Perkahwinan masyarakat India di Malaysia diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu vaitiikat tirumanam, tamil tirumanam, eliyat tirumanam. Perkahwinan masyarakat India biasanya dilaksanakan mengikut golongan etnik iaitu Tamil, Malayalam, Telugu dan sub etnik iaitu Chetti, Mutaliyar, Veelaalar, Teevar dan sebagainya serta status ekonomi, pedanda iaitu Brahmin Gurukkal, Gurukkal, Pandaaram dan sebagainya.

Peringkat pertama iaitu merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira.

Seterusnya ialah kunjungan ke rumah pengantin. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya.Seterusnya ialah mengkaji kecocokan antara kedua-dua bakal pengantin. Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thirumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan dimanak Hindu.

Justeru, prosedur ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan.Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal.
Adat parisam pula terbahagi kepada dua iaitu parisam biasa atau udan parisam. Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala udan parisam adalah pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis pertunangan. Pihak pengantin lelaki akan menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah ganjil. Hantaran ini perlu disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil cumanggali. Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang akan dilakukan terlebih dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan membawa parisam yang mengandungi sari dan diberi kepada anaknya. Pada masa yang sama pengantin perempuan menulis sesuatu dengan menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan. Setelah itu barulah pihak lelaki dan jemputan lain boleh melihat puurana kumbum dengan lebih dekat lagi.
Pada hari tersebut, bakal pengantin perempuan memakai sari parisam dan dipimpin keluar oleh seorang wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa orang saudara-mara boleh mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin perempuan. Ini dikenali sebagai orrai-maalai atau kalungan tunggal. Pengiring akan memberi kad jemputan kepada kedua-dua pihak pengantin.

Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dijalankan terlebih dahulu, antaranya , kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.

Adat mukuurtakaal dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat mukuurtta kaal ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok tersebut berukuran dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter. Majlis perkahwinan pula dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan.

Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan. Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.

Selepas perkahwinan, terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu, ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.



-LANI-







Saturday 28 November 2015

Videos

Asian Beautiful Hindu Wedding of Dnesh & Santhia









Adat Perkahwinan Masyarakat Melayu






Iban Wedding 











-ADILLA-







Thursday 26 November 2015

Adat Perkahwinan Masyarakat Cina

Perkahwinan adalah satu perkara yang dipandang berat oleh masyarakat Cina secara turun-menurun. Walaupun berada dalam zaman yang moden kini, banyak adat tradisional dalam perkahwinan tidak diamalkan oleh masyarakat cina lagi, tetapi juga mempunyai adat-adat yang kekal diamalkan dalam perkahwinan Cina.
Dalam masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan itu dirancang dan diatur sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu Eksplisit iaitu perkahwinan yang diatur samada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan Implisit iaitu perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing. Pada asasnya adat resam perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.

   Merisik

Proses pertama adalah keluarga pihak pengantin lelaki dan perempuan akan merisik latar belakang pasangan yang disukai oleh anaknya. Hal ini kerana keluarga kaum Cina terlalu ambil berat tentang nama, keturunan, latar belakang, peribadi atau tingkah laku pasangan anaknya.
Ciri-ciri ini adalah penting untuk mewujudkan perkahwinan anak mereka menjadi kekal dan bahagia. Terdapat pelbagai cara merisik seperti menanyakan soalan kepada rakan-rakan yang rapat tentang pasangan anak mereka. Keluarga Cina lebih gemar mengadakan perbincangan tentang perkahwinan di restoran-restoran dan ini biasanya diadakan oleh keluarga pihak lelaki.
Tradisi ini adalah penting dalam masyarakat Cina kerana keluarga kedua-dua pihak dapat mengeratkan hubungan dan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan perkahwinan.

 Meminang

Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing, adat meminanag akan dijalankan. Seorang wakil akan dipilih iaitu Moi-Ngin untuk berkunjung ke rumah pihak perempuan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah wang  untuk kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai.


Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Segala permintaan pihak perempuan akan dibincang dan dipersetujui oleh ibu bapa pihak lelaki. Selepas itu, ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan.. Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang dijalankan.



   Adat Bertunang

Hari pertunangan akan dipilih berdasarkan kalendar Cina dan hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran (Ba-Zhi) pasangan tersebut. Lazimnya, perkhidmatan tukang tilik digunakan untuk menetapkan tarikh berpandukan kepada Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan mengalami kegagalan.
Bakal pengantin lelaki akan berkunjung ke rumah perempuan tersebut untuk menunaikan segala permintaan. Kemudian, upacara bertukar cincin akan dilakukan mengikut masa yang ditetapkan. Bagi membukitkan persetujuan, perempuan berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau Nyen-Sang yang tertulis nama, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Selepas penghitungan hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang, Tukang tilik akan membuat ramalan dan menyediakan dua keping Nyik-Kor yang mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat serta memberikan kertas tersebut kepada kedua pasangan.
Selain itu, hadiah besar juga diberikan kepada pihak perempuan pada hari pertunangan. Proses ini dikenali sebagai Guo Da Li dan hadiah besar ini mengandungi angpau, arak, biskut, dan lainlain. Bilangan barang yang ada dalam hadiah besar perlu adalah genap kerana bermaksud hubungan pasangan akan berkekal selama-lamanya. Dalam masyarakat Cina, semakin tinggi wang tunai atau angpau yang diberikan dalam hadiah besar, semakin tinggi kedudukan keluarga lelaki. Sebelum hari perkahwinan, keluarga pihak perempuan perlu menghantarkan hantaran kepada pihak lelaki atau rumah baru pasangan tersebut.



Hadiah besar yang diberi oleh pihak lelaki

Selepas itu, kedua-dua keluarga akan menghantar surat jemputan kepada saudara-mara dan rakan-rakan untuk menghadiri majlis perkahwinan anak-anak mereka.


Surat Jemputan Perkahwinan Cina

Majlis Perkahwinan

Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Hal ini kerana kepercayaan dalam masyarakat Cina adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Sebelum hari perkahwinan, keluarga kedua-dua pihak akan menyembah nenek moyang mereka dan ini bermaksud memberitahu keluarga mereka akan menjalankan perkahwinan, Selain itu, keluarga pihak lelaki akan menyediakan satu katil di bilik pengantin dan meletakkan angpau, limau dan gula-gula. Seorang budak lelaki akan diminta untuk melompat di atas katil tersebut. Dalam kepercayaan masyarakat Cina, tindakan ini adalah berdoa pasangan tersebut dapat melahirkan anak mereka dengan tempoh masa yang pendek. Pengantin lelaki dan perempuan juga akan makan Tang-Yuan iaitu bermakna mereka akan bersatu hati sebagai sebuah keluarga pada masa depan.


Pasangan pengantin yang makan Tang-Yuan semasa perkahwinan



Katil yang disediakan sebelum hari perkahwinan


Pada malam hari sebelum perkahwinan tersebut, pengantin perempuan dan lelaki akan menjalankan upacara sikat rambut. Pengantin perempuan dan lelaki akan memakai pakaian berwarna putih dan ibu bapa mereka akan mengemaskan rambut mereka sambil menyanyikan lagu Shi Shu Ge. Ini merupakan satu adat yang diamalkan oleh masyarakat Cina kerana bermaksud anak-anak mereka telah berdewasa dan berdoa hubungan pasangan penganti akan berkekal.
Pada pagi hari perkahwinan, pengantin dan penganti perempuan akan dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju perkahwinan Cina pada zaman kini telah berubah iaitu tidak semestinya memakai baju perkahwinan tradisional dan juga boleh memakai baju perkahwinan Barat. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Warna baju yang dilarang memakai adalah warna hitam dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.





Baju perkahwinan masyarakat Cina

Pengantin lelaki dan rakan-rakan akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan semasa kereta pengantin leleki sampai ke rumah pengantin perempuan, seorang adik atau budak lelaki dari keluarga perempuan akan membuka pintu kereta pengantin lelaki. Pengantin lelaki akan memberi ang-pau kepada dia sebagai ganjaran.



Selain itu, rakan-rakan pengantin perempuan akan meyediakan beberapa ujian atau permainan kepada pengantin lelaki dan rakan-rakannya untuk hiburan. Selepas itu, pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing. Seterusnya pasangan pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu.


Pasukan kereta pengantin lelaki dan rakan-rakan dalam hari perkahwinan




Rakan-rakan dan pengantin lelaki yang menjalankan permainan untuk hiburan


Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan menyembah nenek moyang dan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan ini begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya perempuan dalam keluarga lelaki di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini, pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara kedua-dua keluarga.


Pasangan pengantin menjalankan upacara meminum teh


Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.



Majlis perkahwinan Cina di Restoran 




-Kew-






Adat Perkahwinan Masyarakat Iban

ASSALAMUALAIKUM...

Tahukah anda mengenai perkahwinan masyarakat iban?

Saya akan menerangkan serba sedikit adat perkahwinan masyarakat Iban.

Masyarakat Iban di Sarawak mempunyai adat perkahwinan yang agak berbeza dengan adat perkahwinan kaum Melayu. Terdapat pelbagai peraturan unik yang perlu dipatuhi sebelum seseorang itu layak untuk bernikah.  Perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban adalah perkahwinan yang mengikut adat. Bagi mana-mana pihak yang melanggar adat, mereka akan dikenakan denda yang bertujuan mengelak pasangan suami isteri tersebut daripada ditimpa bala atau kesusahan.

Merisik 

Dalam masyarakat Iban, biasanya kaum lelaki yang akan menentukan perkahwinan. Sekiranya seorang teruna telah berkenan pada seorang gadis, ibu bapanya atau wakil akan pergi ke rumah si gadis untuk merisik atau berbunga-bunga atau berjarum-jarum. ini bertujuan untuk menanyakan persetujuan daripada pihak gadis. Setelah mendapat persetujuan, pihak pengantin perempuan akan menentukan pemberian (Wang Hantaran) dan syarat-syarat perkahwinan.

Pihak keluarga si teruna akan membawa rombongan yang tidak kurang daripada 5- 20 orang yang terdiri daripada orang-orang tua di dalam keluarga si teruna. Pada masa ini, termasuklah soal mas kahwin serta lain-lain perkara yang berkaitan. Jika kata sepakat sudah diambil, ayahanda si teruna akan menanggalkan lapit atau ikan penggang perak atau sebilah pedang sebagai tanda pertunangan.

Meminang atau Bertunang

Apabila ibu bapa perempuan mendapati risikan itu boleh dipertimbangkan, mereka akan menentukan hari bagi wakil pihak lelaki datang membawa cincin pusaka (dibuat daripada tembaga). Cincin itu juga digelar 'cincin menanti mimpi'. Cincin itu mesti dibawa pada waktu pagi.

Sebentuk cincin di jari masing-masing adalah sebagai tanda ikatan pertunangan dan tanda bahawa masing-masing sudah dimilik. Tempoh pertunangan kemudian akan ditetapkan. Tarikh perkahwinan juga turut ditetapkan. Sekiranya pertunangan itu putus kerana salah seorang melakukan kecurangan, maka sesiapa yang melakukan kecuranganitu akan dikenakan denda sebagai menebus malu keluarga pihak yang dicurangi itu. Tetapi, sekiranya pertunangan itu terputus kerana kematian dan sebab-sebab lain, maka hubungan di antara pihak lelaki dan perempuan masih berjalan dengan baik.



Majlis Perkahwinan 

Sebagai persiapan sebelum perkahwinan, pihak lelaki akan menyediakan segala kelengkapan dari segi wang perbelanjaan dan barang yang harus diberikan kepada pihak wanita. Keluarga pihak wanita juga membuat persiapan seperti memburu binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan.

Untuk mengundang tetamu, kedua-dua pihak akan mencari wakil masing-masing untuk menguruskan jemputan kahwin. Wakil ini membawa beberapa utas tali bersimpul (temukutali) yang menunjukkan berapa hari lagi perkahwinan itu akan dilangsungkan. Wakil khas akan meninggalkan simpulan tali tersebut di rumah tuai atau ketuan rumah panjang yang bertanggungjawab membuka simpulan tali tersebut pada setiap hari sehingga tiba pada hari majlis. Majlis perkahwinan akan dilangsungkan di rumah perempuan yang dihadiri oleh beratus-ratus orang tetamu.

Semasa rombongan pengantin lelaki hampir tiba di rumah pengantin perempuan, satu upacara bertanyakan petanda (Nanyaka Burong). Rombongan pengantin lelaki akan ditemukan dengan rombongan pengantin perempuan di perkarangan rumah panjang. Pihak lelaki akan ditanyakan tentang petanda yang mereka jumpa dalam perjalanan ke rumah pengantin perempuan.

Sekiranya terdapat sebarang petanda buruk berlaku, upacara penawar akan diadakan terlebih dahulu sebelum rombongan daripada pihak lelaki dibenarkan masuk ke dalam rumah. Selepas upacara penawar dilakukan, rombongan pengantin lelaki akan masuk ke rumah dengan diiringi oleh paluan gong. Ayah pengantin lelaki akan mengorbankan seekor babi sebagai sembahan. Pada tangga yang paling atas terdapat dulang yang berisi seketul batu dan air yang merupakan penawar kepada petanda burung dan sakang (tanggal). Setiap ahli rombongan yang naik  hendaklah membasuh kaki dengan meletak sebelah kaki kedalam dulang tersebut. 

Selain itu, pada hari perkahwinan rombangan pihak lelaki akan pemalu gong di sepanjang perjalanan ke rumah pengantin dengan pakaian yang menarik. Manakala, bagi yang menggunakan jalan air, kapal atau perahu yang digunakan akan dihiasi cantik dengan pua kumbu. Sebaik sahaja sampai di rumah pengantin perempuan, tembakan meriam akan dilakukan sebanyak dua kali sebelum mereka pergi mandi beramai-ramai di sungai. Selepas daripada iyu, baru mereka memakai pakaian tradisional.

Sampai di tangga rumah panjang, ketua rombongan pengantin lelaki akan dipelawa untuk menyembelih seekor babi sebagai penghormatan dan pada masa yang sama kedengaran tembakan senapang secara berbalas-balas. Selain itu, terdapat juga rangka yang berbentuk seperti Kota. Ketua rombongan tersebut hendaklah membuka setiap kota tersebut yang akan diletakkan di tangga rumah, ditengah rumah dan dihujung rumah.

Setelah itu, pihak perempuan daripada rombongan lelaki akan ke bilik dan pihak lelaki akan duduk di ruai. Mengikut adat, tetamu perempuan hanya akan dapat masuk ke dalam bilik pengantin perempuan dengan menggunakan bahasa berirama untuk membuka pintu bilik yang dipalang dengan lembing dan ditutup dengan puan kumbu.

Seterusya, para tetamu akan dihidangkan dengan air arak iaitu air tuak. Sambil itu, mereka beramai-ramai akan bergurau senda dan menyanyi dengan paluan gong. Mereka juga akan berpusing di rumah sebanyak tiga kali. Sesudah itu, barulah air tuak tadi diberikan kepada tetamu sebagai penyucian.



Sekiranya perkahwinan itu berlangsung pada waktu siang selepas makan tengah hari barulah kedua-dua keluarga akan bercerita tentang susur galur keluarga masing-masing. Namun, jika perkahwinan diadakan pada waktu malam, upacara tersebut akan diadakan pada tengah malam. Hal ini bertujuan supaya kedua-dua pengantin dapat mengenali keluarga masing-masing dengan lebih mendalam. Sebelum perbincangan diadakan. Tuai rumah akan menghidangkan air arak yang dipanggil air peransang kepada para tetamu.

Setelah hubungkait diketahui, barulah denda dikenakan kepada mereka. Selepas itu, barulah ibu bapa pengantin perempuan meminta pemberian. Terdapat nilai hantaran yang telah ditetapkan dalam masyrakat Iban, misainya bayaran memecah tangga iaitu sebilah beliung, bayaran membuka pintu adalah sebilang lembing, bayaran membuka kelambu adalah sebilah pedang dan pemberian kecil pihak lain. Pihak lelaki pula akan meminta bayaran basuh kaki iaitu sebuah tempayang, tempat menggantung gong, penolak haluan iaitu sebatang sumpit, dan kajang perahu iaitu sepasang kain pua kumbu.

Setelah selesai pemberian, mereka akan berbincang tentang pemberian yang akan diberikan jika berlaku penceraian. Biasanya, jika penceraian bermula daripada pihak lelaki. Pihak lelaki harus membuat bayaran balik untuk barangan pemberian yang diterimanya dahulu beserta wang tambahan denga nilai yang ditetapkan. Namun, jika penceraian terjadi dengan alasan yang tidak nyata, maka perjanjian tersebut tidak akan digunapakai.




Seterusnya, upacara membelah pinag akan dilakukan. Pinang tersebut akan dibelah kepada beberapa bahagian dan kemudiannya akan dimasukkan ke dalam bakul dan ditutupi dengan pua kumbu. Buah pinang tersebut menandakan berapa orang anak yang akan diperolehi oleh kedua pasangan tersebut. Selain itu, upacara menggolong pinang dalam kain juga akan dibuat. Setiap pecahan pinang tersebut menandakan berepa lama pengantin perempuan tersebut kena duduk di rumah suaminya. Seorang lemambang atau bomoh akan menidurkan anak kecil dan menyanyikan beberapa rangkap syair sehingga anak tersebut bangun semula. Setelah pagi, para tetamu akan dihidangkan dengan pinang sebagai sarapan pagi.

Setelah semua adat-adat tersebut selesai tanpa berlaku perlanggaran, barulah upacara perkahwinan dianggap sah. Jika berlaku perlanggarang adat, kedua pengantin baru dikehendaki mandi di sungai sebagai penyucian diri. Untuk adat ini juga, mereka dikehendaki memengang kain sepanjang 7 ela untuk memastikan kesalah yang dibuat oleh tetamu lain juga telah disucikan. Selepas mandi, mereka akan menyembelih seekor babi sebagi korban dan sebagai penghapus dosa pengantin.

Selepas menyucikan diri, mereka akan bersiap-siap untuk ke rumah pengantin lelaki pula. Di sepanjang jalan, mereka hendaklah sentiasa kelihatan gembira kerana segala dosa telah disucikan. Pada sebelah malamnya, majlis yang meriah akan dilakukan di rumah pengantin lelaki pula. Kedua pengantin akan bersanding di atas gong atau kerusi yang di alas dengan kain tenun.

Akhir sekali, beberapa orang tua akan membacakan doa dengan menggunakan ayam untuk membiau mereka berdua dan meminta agar dewa memberkati kedua pengantin tadi. Seterusnya, seseorng yang dipanggil tukang ganyang akan memulakan acara. Ayam yang telah diikat kakinya akan dilepaskan dan mantera pun dibaca. Ayam tersebut akan disembelih dan darahnya akan disimbah kepada pengantin. Istiadat ini diakhiri denganjamuan makan. Setelah itu, mareka akan dibawa balik semula ke rumah pengantin perempuan. Walaupun mereka sudah sah sebagai suami isteri, mereka tidak boleh tidurbersama selagi masih ada bunyi-bunyi yang membawa petanda buruk. Mereka akan dipisahkan sementara waktu sehingga semua petanda buruk tersebut tiada lagi.







-ADILLA-






Adat Perkahwinan Masyarakat Melayu

ASSALAMUALAIKUM...

Adat resam perkahwinan Melayu tradisional dipegang teguh oleh kebanyakan orang Melayu sejak turun temurun, baik di bandar mahupun di luar bandar. Mengikut masyarakat melayu, adat memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka. Setiap perlakuan mereka akan dipengaruhi dengan adatnya yang tersendiri terutama dalam majlis perkahwinan masyarakat melayu. Adat akan memainkan peranan dalam memastikan kelancaran sesebuah majlis tersebut. Perkahwinan bermaksud menyatukan hubungan antara lelaki dan perempuan dalam satu ikatan yang sah. Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, beberapa adat akan dilakukan seperti merisik, meminang, bersanding dan sebagainya. selain itu, perkahwinan masyarakat melayu juga akan diselitkan beberapa aktiviti hiburan untuk para tetamu. Adat resam Melayu memerlukan wang yang banyak untuk menepati semua peringkat istiadat. Terdapat 8 langkah yang terbahagi kepada 3 peringkat..


PERINGKAT ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN MELAYU

Peringkat pertama :


Merisik atau menengok, merupakan adat tradisi masyarakat Melayu kita yang jarang diamalkan oleh generasi sekarang. Tujuan merisik ialah untuk menengok atau sinonim dengan 'meninjau' keadaan si gadis yang menjadi idaman si teruna. Meninjau yang dimaksudkan ialah memastikan status sebenar gadis berkenaan serta berkenal-kenal dengan sikap dan kemahiran yang dimilikinya. Merisik ini biasanya diuruskan oleh orang-orang lama yang lebih berpengalaman dalam menilai seseorang, biasanya mereka akan memilih orang terdekat untuk memudahkan urusan . Jika diikutkan tradisi orang dulu-dulu,  pihak lelaki tidak akan memberitahu mereka akan ke rumah si gadis, namun kini sebaliknya pula berlaku. Kebiasaanya dalam proses merisik ini satu perbincangan antara kedua belah pihak akan diadakan di mana pihak lelaki akan memberikan sebentuk cincin berupa cincin belah rotan sebagai tanda tanya. Jika ada persetujuan dari pihak gadis maka satu tarikh peminangan akan ditetapkan dan cincin itu akan disarungkan sebagai tanda si gadis sudah dirisik.






 Seterusnya ialah meminang. Kebiasaannya wakil untuk pergi meminang dipilih di kalangan orang tua-tua yang diutuskan oleh ibu bapa belah lelaki untuk mewakili mereka meminang anak gadis yang menjadi pilihan si teruna. Mengikut adat istiadat orang Melayu, ibu bapa belah perempuan akan memberikan jawapan yang muktamad kerana mereka telah diberi tempoh untuk memberi jawapan. Semasa proses peminangan berlangsung, pihak belah lelaki akan menyediakan mas kahwin dan wang belanja kepada pihak perempuan untuk kegunaan di hari perkahwinan antara barang yang diserahkan kepada pihak perempuan ialah cincin emas atau berlin diiringi dengan barang-barang sampingan seperti buah-buahan, kasut, baju dan sebagainya. Barang-barang yang diterima oleh pihak perempuan melambangkan pihak perempuan telah menyetujui syarat-syarat perkahwinan tersebut. Syarat yang dimaksudkan ialah jika  pihak lelaki gagal untuk berkahwin dengan gadis yang ditunangkan, pihak perempuan tidak berhak untuk menuntut semula. Sebaliknya, jika pihak perempuan gagal memenuhi pertunangan tersebut maka harus dikembalikan semula kepada pihak lelaki dengan kadar sekali ganda baik dari segi bilangan ataupun nilainya.


Upacara akad nikah pula merupakan istiadat yang dilakukan oleh orang islam dan undang-undang untuk menghalalkan perkahwinan .Dalam upacara tersebut, pengantin lelaki akan berpakaian haji atau berpakaian bangsa Melayu, manakala rombongan pihak lelaki pula akan membawa barang hantaran dan disusun di hadapan tetamu yang hadir. Semasa upacara akad nikah dijalankan, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam. Seterusnya imam akan menyemak kesemua maklumat pengantin untuk ditandatangani oleh kedua-dua mempelai. Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Walau bagaimanapun Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi ataupun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Seterusnya  Tok kadi akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum berkaitan dengan tanggungjawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Lafaz nikah berbunyi "Aku nikahkan dikau.(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak ..(mengikut negeri) tunai" dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi "Aku terima nikahnya..(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi). Saksi akan mengesahkan sama ada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Upacara membatalkan air sembahyang pula dilakukan sebaik sahaja selesai adat akad nikah. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan.


Peringkat kedua:


Berandam dan berasah gigi diamalkan sejak zaman nenek moyang dan dilakukan sebelum akad nikah. Rambut pengantin perempuan yang terdapat di dahi serta bulu keningnya dipepat (seringnya, pengantin lelaki juga mengamalkan adat ini). Kemudian, gigi pengantin perempuan diasah dan dikilat supaya sama rata dan berkilat. Tugas ini dilakukan oleh seorang tukang andam yang juga merupakan "emak pengantin" (bukan ibu sebenar). Bagaimanapun, amalan ini kini sudah lapuk, hanya adat berandam yang masih diamalkan oleh pengantin perempuan di kawasan luar bandar pada hari ini (pengantin lelaki tidak lagi mengamalkan adat ini), manakala orang bandar Melayu lebih suka menghantar bakal pengantin perempuan ke kedai solek yang terdapat banyak di bandar Malaysia. Walaupun demikian, masih terdapat orang Melayu yang mematuhi peribahasa, "Biar mati anak, jangan mati adat" yang diamalkan di kawasan yang terpencil.
  
Selepas berandam, pengantin perempuan akan mandi dengan air sintuk-limau yang dianggap secara tradisi dan kepercayaan nenek moyang mereka terdahulu untuk menghapuskan nasib malang pada pengantin perempuan. Selepas mandi istiadat dan sebelum bakal pengantin perempuan tidur, sepuluh hujung jarinya dan kedua-dua tapak tangan serta pinggir tapak kaki diinai dan dibiarkan kering sehingga pagi keesokan. Amalan yang diamalkan ini adalah amalan berinai yang sebenar dan mendahului apa yang dikenali sebagai istiadat berinai.


Istiadat berinai terdiri daripada tiga peringkat:


Berinai curi diadakan pada waktu petang hari selepas hari yang tangan dan tapak kaki bakal pengantin perempuan diinai. Bakal pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di atas pelamin.

Berinai kecil yang diadakan pada waktu petang hari selepas hari berinai curi. Kaedahnya sama sahaja dengan berinai curi.

Berinai besar pula dibuat ketika pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan berpakaian pengantin, dia didudukkan di atas pelamin yang terletak di hadapan sekumpulan tetamu (kebanyakannya wanita), saudara rapat, jiran, dan kawan keluarga pengantin perempuan. Di hadapan pengantin lelaki terletak sebuah dulang berkekaki yang besar yang mengandungi tiga buah pinggan berserta beberapa tangkai daun wangi. Pinggan-pinggan itu masing-masing mengandungi nasi kunyit, bertih, dan air daun setawar kisar. Di tengah dulang itu terletak selonggok pes inai. 

Istiadat berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke pelamin, satu demi satu, untuk membuang sedikit nasi kunyit pada sebelah kiri kanan pengantin lelaki. Perbuatan yang sama kemudian dilakukan dengan bertih. Ini diikuti oleh tangkai daun wangi yang dicelupkan ke dalam air daun setawar dan kemudian digunakan untuk menyentuh kedua-dua belakang tangan pengantin lelaki. Akhirnya, tetamu akan mengambil sedikit pes inai dari longgok di tengah dulang dan selepas meletakkannya pada daun sirih yang disediakan oleh emak pengantin, akan meletakkannya pada tapak tangan pengantin lelaki. Daun sirih itu bertujuan untuk mengelakkan mengotorkan tangan pengantin. Sejurus selepas ini, emak pengantin akan merapatkan kedua-dua tangan pengantin dan menaikkannya pada aras dada sebagai tanda menyembah kepada tetamu yang melakukan istiadat ini. 

Istiadat ini biasanya dilakukan oleh semua tetamu yang minat, tetapi bilangan mereka harus merupakan bilangan ganjil dan bukannya genap. Ketika tetamu lelaki telah siap, para tetamu perempuan akan turut menjalankan istiadat ini dengan cara yang tepat sama. Selepas semua tetamu yang minat telah menjalankan istiadat ini, seorang wakil daripada kalangan tetamu lelaki akan ke depan untuk membaca doa selamat. Pengantin lelaki kemudian akan pulang ke rumah sendiri, dan pengantin perempuan turut didudukkan di atas pelamin untuk menjalankan istiadat yang sama. Istiadat ini diakhiri seperti biasa dengan jamuan kari dan nasi. Kenduri berinai besar adalah jauh lebih besar, berbanding dengan kenduri berinai curi dan kenduri berinai kecil. Selain itu, pengantin lelaki tidak terlibat dalam istiadat berinai di rumah pengantin perempuan bagi istiadat berinai curi dan berinai kecil. Sesetengah pengantin lelaki Melayu pada zaman silam juga menjalankan istiadat berinai di rumah sendiri tetapi istiadat ini tidak lagi dijalankan.







Peringkat ketiga:


Bersanding bermaksud duduk bersebelah-sebelahan di satu tempat yang istimewa. Amalan ini dianggap sebagai kemuncak majlis perkahwinan dalam adat resam perkahwinan Melayu. Bersanding adalah acara terpenting seumur hidup bagi pasangan pengantin. Majlis perkahwinan tidak akan lengkap jika kedua-dua mempelai tidak disandingkan di atas pelamin. Di atas pelamin itu ada kerusi yang dihias cantik. Jika acara persandingan tidak diadakan, majlis perkahwinan tidak akan sempurna dan tidak ramai yang sudi menghulurkan wang sumbangan. Jika di bandar, ada sesetengah tetamu di bandar sanggup menghulurkan wang RM50 - RM100 jika majlis diadakan di dewan bersama persembahan yang meriah. Waktu paling sesuai untuk bersanding ialah waktu tengah hari, iaitu semasa tetamu ramai di bawah khemah atau dewan. Biasanya majlis persandingan diingati sampai bila-bila dan merupakan 'detik abadi' yang patut dikenang.

Sebelum istiadat mandi limau dijalankan, terdapat satu adat yang amat penting pada zaman silam. Pada awal pagi selepas malam bersatu, emak pengantin akan menanyakan bukti yang konkrit daripada pengantin lelaki tentang keperawanan pengantin perempuannya. Mengikut adat, pengantin lelaki akan menyerahkan sehelai sapu tangan berwarna putih yang memberikan bukti yang diperlukan. Emak pengantin kemudian akan menunjukkan sapu tangan itu mula-mulanya kepada ibu bapa pengantin perempuan dan kemudian yang paling penting sekali kepada ibu bapa pengantin lelaki. Pada zaman silam, bukti tentang keperawanan pengantin perempuan adalah amat penting kepada orang Islam umumnya. Penyerahan bukti sebelum istiadat mandi limau adalah wajib dan amat penting sehingga ketiadaan bukti hampir selalu menimbulkan masalah yang seringnya mengakibatkan perceraian serta-merta. Selepas kedua-dua pasangan ibu bapa pengantin lelaki dan pengantin perempuan telah memuaskan diri tentang kesucian pengantin perempuan, istiadat mandi limau akan dijalankan. Kedua-dua suami isteri sekali lagi berduduk di atas pelamin dalam pakaian yang terbaik di hadapan sekumpulan tetamu yang terdiri daripada saudara, jiran, dan kawan rapat kedua-dua keluarga. Untuk istiadat ini, mereka tidak berpakaian pengantin tetapi memakai pakaian Melayu yang biasa. 

Selepas berduduk selama sepuluh hingga lima belas minit, mereka akan di bawa turun dan didudukkan pada sebuah bangku atau dua buah kerusi di ibu rumah atau bilik yang lain di rumah. Mandi istiadat dilakukan oleh emak pengantin, dan terdiri daripada memercikkan air sintuk dan limau purut pada kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan. Selepas upacara ini disiapkan, pengantin lelaki akan membawa pengantin perempuan balik ke bilik tidur dengan setiap mereka memegang salah satu hujung sapu tangan. Sarung yang digunakan oleh kedua-dua suami isteri dalam istiadat mandi diberikan kepada emak pengantin, bukan sahaja sebagai hadiah tetapi juga sebagai tolak bala dan buang geruh. Kedua-dua pengantin tidak dibenarkan memerah air dari sarung tersebut, apa lagi dengan menyimpannya. Seluruh adat ini yang dipegang teguh pada zaman silam kini tidak lagi diamalkan sama sekali oleh hampir semua (jika bukan semua) orang Melayu.

Pada hari istiadat mandi, sebuah kenduri akan diadakan di rumah pengantin perempuan. Ketika ini, suami dan ibu bapa mertua akan membawanya membuat kunjungan pertama ke rumah mereka. Di rumah suaminya, mereka akan menjalankan istiadat bersanding sekali lagi, jika ibu bapa mertuanya merupakan orang berada. Sebuah kenduri yang terdiri daripada beratus-ratus tetamu akan diadakan. Kedang kala, hiburan sepanjang siang dan malam yang terdiri daripada muzik dan tarian tempatan akan diadakan untuk menghibur isteri yang baru ini. Istiadat yang diadakan di rumah pengantin lelaki kadang kala lebih besar daripada istiadat bersanding di rumah pengantin perempuan, tetapi kenduri-kenduri perkahwinan yang diadakan di rumah pengantin perempuan biasanya adalah lebih banyak dan lebih mewah daripada kenduri-kenduri yang diadakan di rumah pengantin lelaki. Selepas tinggal di rumah suaminya selama beberapa hari, isteri baru itu yang diiringi oleh suami dan ibu bapa mertuanya akan kembali ke rumah perempuan untuk mendiami sekurang-kurangnya beberapa bulan. Pada kepulangannya ini, sebuah kenduri yang kecil akan diadakan.
           







            Cinta dan kasih tidak kan mati,
Andainya hati saling berpaut,
            Dari mata turun ke hati,
            Dari hati terus terpaut.





-AIMI-