Thursday 26 November 2015

Adat Perkahwinan Masyarakat Melayu

ASSALAMUALAIKUM...

Adat resam perkahwinan Melayu tradisional dipegang teguh oleh kebanyakan orang Melayu sejak turun temurun, baik di bandar mahupun di luar bandar. Mengikut masyarakat melayu, adat memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka. Setiap perlakuan mereka akan dipengaruhi dengan adatnya yang tersendiri terutama dalam majlis perkahwinan masyarakat melayu. Adat akan memainkan peranan dalam memastikan kelancaran sesebuah majlis tersebut. Perkahwinan bermaksud menyatukan hubungan antara lelaki dan perempuan dalam satu ikatan yang sah. Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, beberapa adat akan dilakukan seperti merisik, meminang, bersanding dan sebagainya. selain itu, perkahwinan masyarakat melayu juga akan diselitkan beberapa aktiviti hiburan untuk para tetamu. Adat resam Melayu memerlukan wang yang banyak untuk menepati semua peringkat istiadat. Terdapat 8 langkah yang terbahagi kepada 3 peringkat..


PERINGKAT ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN MELAYU

Peringkat pertama :


Merisik atau menengok, merupakan adat tradisi masyarakat Melayu kita yang jarang diamalkan oleh generasi sekarang. Tujuan merisik ialah untuk menengok atau sinonim dengan 'meninjau' keadaan si gadis yang menjadi idaman si teruna. Meninjau yang dimaksudkan ialah memastikan status sebenar gadis berkenaan serta berkenal-kenal dengan sikap dan kemahiran yang dimilikinya. Merisik ini biasanya diuruskan oleh orang-orang lama yang lebih berpengalaman dalam menilai seseorang, biasanya mereka akan memilih orang terdekat untuk memudahkan urusan . Jika diikutkan tradisi orang dulu-dulu,  pihak lelaki tidak akan memberitahu mereka akan ke rumah si gadis, namun kini sebaliknya pula berlaku. Kebiasaanya dalam proses merisik ini satu perbincangan antara kedua belah pihak akan diadakan di mana pihak lelaki akan memberikan sebentuk cincin berupa cincin belah rotan sebagai tanda tanya. Jika ada persetujuan dari pihak gadis maka satu tarikh peminangan akan ditetapkan dan cincin itu akan disarungkan sebagai tanda si gadis sudah dirisik.






 Seterusnya ialah meminang. Kebiasaannya wakil untuk pergi meminang dipilih di kalangan orang tua-tua yang diutuskan oleh ibu bapa belah lelaki untuk mewakili mereka meminang anak gadis yang menjadi pilihan si teruna. Mengikut adat istiadat orang Melayu, ibu bapa belah perempuan akan memberikan jawapan yang muktamad kerana mereka telah diberi tempoh untuk memberi jawapan. Semasa proses peminangan berlangsung, pihak belah lelaki akan menyediakan mas kahwin dan wang belanja kepada pihak perempuan untuk kegunaan di hari perkahwinan antara barang yang diserahkan kepada pihak perempuan ialah cincin emas atau berlin diiringi dengan barang-barang sampingan seperti buah-buahan, kasut, baju dan sebagainya. Barang-barang yang diterima oleh pihak perempuan melambangkan pihak perempuan telah menyetujui syarat-syarat perkahwinan tersebut. Syarat yang dimaksudkan ialah jika  pihak lelaki gagal untuk berkahwin dengan gadis yang ditunangkan, pihak perempuan tidak berhak untuk menuntut semula. Sebaliknya, jika pihak perempuan gagal memenuhi pertunangan tersebut maka harus dikembalikan semula kepada pihak lelaki dengan kadar sekali ganda baik dari segi bilangan ataupun nilainya.


Upacara akad nikah pula merupakan istiadat yang dilakukan oleh orang islam dan undang-undang untuk menghalalkan perkahwinan .Dalam upacara tersebut, pengantin lelaki akan berpakaian haji atau berpakaian bangsa Melayu, manakala rombongan pihak lelaki pula akan membawa barang hantaran dan disusun di hadapan tetamu yang hadir. Semasa upacara akad nikah dijalankan, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam. Seterusnya imam akan menyemak kesemua maklumat pengantin untuk ditandatangani oleh kedua-dua mempelai. Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Walau bagaimanapun Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi ataupun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Seterusnya  Tok kadi akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum berkaitan dengan tanggungjawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Lafaz nikah berbunyi "Aku nikahkan dikau.(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak ..(mengikut negeri) tunai" dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi "Aku terima nikahnya..(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi). Saksi akan mengesahkan sama ada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Upacara membatalkan air sembahyang pula dilakukan sebaik sahaja selesai adat akad nikah. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan.


Peringkat kedua:


Berandam dan berasah gigi diamalkan sejak zaman nenek moyang dan dilakukan sebelum akad nikah. Rambut pengantin perempuan yang terdapat di dahi serta bulu keningnya dipepat (seringnya, pengantin lelaki juga mengamalkan adat ini). Kemudian, gigi pengantin perempuan diasah dan dikilat supaya sama rata dan berkilat. Tugas ini dilakukan oleh seorang tukang andam yang juga merupakan "emak pengantin" (bukan ibu sebenar). Bagaimanapun, amalan ini kini sudah lapuk, hanya adat berandam yang masih diamalkan oleh pengantin perempuan di kawasan luar bandar pada hari ini (pengantin lelaki tidak lagi mengamalkan adat ini), manakala orang bandar Melayu lebih suka menghantar bakal pengantin perempuan ke kedai solek yang terdapat banyak di bandar Malaysia. Walaupun demikian, masih terdapat orang Melayu yang mematuhi peribahasa, "Biar mati anak, jangan mati adat" yang diamalkan di kawasan yang terpencil.
  
Selepas berandam, pengantin perempuan akan mandi dengan air sintuk-limau yang dianggap secara tradisi dan kepercayaan nenek moyang mereka terdahulu untuk menghapuskan nasib malang pada pengantin perempuan. Selepas mandi istiadat dan sebelum bakal pengantin perempuan tidur, sepuluh hujung jarinya dan kedua-dua tapak tangan serta pinggir tapak kaki diinai dan dibiarkan kering sehingga pagi keesokan. Amalan yang diamalkan ini adalah amalan berinai yang sebenar dan mendahului apa yang dikenali sebagai istiadat berinai.


Istiadat berinai terdiri daripada tiga peringkat:


Berinai curi diadakan pada waktu petang hari selepas hari yang tangan dan tapak kaki bakal pengantin perempuan diinai. Bakal pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di atas pelamin.

Berinai kecil yang diadakan pada waktu petang hari selepas hari berinai curi. Kaedahnya sama sahaja dengan berinai curi.

Berinai besar pula dibuat ketika pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan berpakaian pengantin, dia didudukkan di atas pelamin yang terletak di hadapan sekumpulan tetamu (kebanyakannya wanita), saudara rapat, jiran, dan kawan keluarga pengantin perempuan. Di hadapan pengantin lelaki terletak sebuah dulang berkekaki yang besar yang mengandungi tiga buah pinggan berserta beberapa tangkai daun wangi. Pinggan-pinggan itu masing-masing mengandungi nasi kunyit, bertih, dan air daun setawar kisar. Di tengah dulang itu terletak selonggok pes inai. 

Istiadat berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke pelamin, satu demi satu, untuk membuang sedikit nasi kunyit pada sebelah kiri kanan pengantin lelaki. Perbuatan yang sama kemudian dilakukan dengan bertih. Ini diikuti oleh tangkai daun wangi yang dicelupkan ke dalam air daun setawar dan kemudian digunakan untuk menyentuh kedua-dua belakang tangan pengantin lelaki. Akhirnya, tetamu akan mengambil sedikit pes inai dari longgok di tengah dulang dan selepas meletakkannya pada daun sirih yang disediakan oleh emak pengantin, akan meletakkannya pada tapak tangan pengantin lelaki. Daun sirih itu bertujuan untuk mengelakkan mengotorkan tangan pengantin. Sejurus selepas ini, emak pengantin akan merapatkan kedua-dua tangan pengantin dan menaikkannya pada aras dada sebagai tanda menyembah kepada tetamu yang melakukan istiadat ini. 

Istiadat ini biasanya dilakukan oleh semua tetamu yang minat, tetapi bilangan mereka harus merupakan bilangan ganjil dan bukannya genap. Ketika tetamu lelaki telah siap, para tetamu perempuan akan turut menjalankan istiadat ini dengan cara yang tepat sama. Selepas semua tetamu yang minat telah menjalankan istiadat ini, seorang wakil daripada kalangan tetamu lelaki akan ke depan untuk membaca doa selamat. Pengantin lelaki kemudian akan pulang ke rumah sendiri, dan pengantin perempuan turut didudukkan di atas pelamin untuk menjalankan istiadat yang sama. Istiadat ini diakhiri seperti biasa dengan jamuan kari dan nasi. Kenduri berinai besar adalah jauh lebih besar, berbanding dengan kenduri berinai curi dan kenduri berinai kecil. Selain itu, pengantin lelaki tidak terlibat dalam istiadat berinai di rumah pengantin perempuan bagi istiadat berinai curi dan berinai kecil. Sesetengah pengantin lelaki Melayu pada zaman silam juga menjalankan istiadat berinai di rumah sendiri tetapi istiadat ini tidak lagi dijalankan.







Peringkat ketiga:


Bersanding bermaksud duduk bersebelah-sebelahan di satu tempat yang istimewa. Amalan ini dianggap sebagai kemuncak majlis perkahwinan dalam adat resam perkahwinan Melayu. Bersanding adalah acara terpenting seumur hidup bagi pasangan pengantin. Majlis perkahwinan tidak akan lengkap jika kedua-dua mempelai tidak disandingkan di atas pelamin. Di atas pelamin itu ada kerusi yang dihias cantik. Jika acara persandingan tidak diadakan, majlis perkahwinan tidak akan sempurna dan tidak ramai yang sudi menghulurkan wang sumbangan. Jika di bandar, ada sesetengah tetamu di bandar sanggup menghulurkan wang RM50 - RM100 jika majlis diadakan di dewan bersama persembahan yang meriah. Waktu paling sesuai untuk bersanding ialah waktu tengah hari, iaitu semasa tetamu ramai di bawah khemah atau dewan. Biasanya majlis persandingan diingati sampai bila-bila dan merupakan 'detik abadi' yang patut dikenang.

Sebelum istiadat mandi limau dijalankan, terdapat satu adat yang amat penting pada zaman silam. Pada awal pagi selepas malam bersatu, emak pengantin akan menanyakan bukti yang konkrit daripada pengantin lelaki tentang keperawanan pengantin perempuannya. Mengikut adat, pengantin lelaki akan menyerahkan sehelai sapu tangan berwarna putih yang memberikan bukti yang diperlukan. Emak pengantin kemudian akan menunjukkan sapu tangan itu mula-mulanya kepada ibu bapa pengantin perempuan dan kemudian yang paling penting sekali kepada ibu bapa pengantin lelaki. Pada zaman silam, bukti tentang keperawanan pengantin perempuan adalah amat penting kepada orang Islam umumnya. Penyerahan bukti sebelum istiadat mandi limau adalah wajib dan amat penting sehingga ketiadaan bukti hampir selalu menimbulkan masalah yang seringnya mengakibatkan perceraian serta-merta. Selepas kedua-dua pasangan ibu bapa pengantin lelaki dan pengantin perempuan telah memuaskan diri tentang kesucian pengantin perempuan, istiadat mandi limau akan dijalankan. Kedua-dua suami isteri sekali lagi berduduk di atas pelamin dalam pakaian yang terbaik di hadapan sekumpulan tetamu yang terdiri daripada saudara, jiran, dan kawan rapat kedua-dua keluarga. Untuk istiadat ini, mereka tidak berpakaian pengantin tetapi memakai pakaian Melayu yang biasa. 

Selepas berduduk selama sepuluh hingga lima belas minit, mereka akan di bawa turun dan didudukkan pada sebuah bangku atau dua buah kerusi di ibu rumah atau bilik yang lain di rumah. Mandi istiadat dilakukan oleh emak pengantin, dan terdiri daripada memercikkan air sintuk dan limau purut pada kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan. Selepas upacara ini disiapkan, pengantin lelaki akan membawa pengantin perempuan balik ke bilik tidur dengan setiap mereka memegang salah satu hujung sapu tangan. Sarung yang digunakan oleh kedua-dua suami isteri dalam istiadat mandi diberikan kepada emak pengantin, bukan sahaja sebagai hadiah tetapi juga sebagai tolak bala dan buang geruh. Kedua-dua pengantin tidak dibenarkan memerah air dari sarung tersebut, apa lagi dengan menyimpannya. Seluruh adat ini yang dipegang teguh pada zaman silam kini tidak lagi diamalkan sama sekali oleh hampir semua (jika bukan semua) orang Melayu.

Pada hari istiadat mandi, sebuah kenduri akan diadakan di rumah pengantin perempuan. Ketika ini, suami dan ibu bapa mertua akan membawanya membuat kunjungan pertama ke rumah mereka. Di rumah suaminya, mereka akan menjalankan istiadat bersanding sekali lagi, jika ibu bapa mertuanya merupakan orang berada. Sebuah kenduri yang terdiri daripada beratus-ratus tetamu akan diadakan. Kedang kala, hiburan sepanjang siang dan malam yang terdiri daripada muzik dan tarian tempatan akan diadakan untuk menghibur isteri yang baru ini. Istiadat yang diadakan di rumah pengantin lelaki kadang kala lebih besar daripada istiadat bersanding di rumah pengantin perempuan, tetapi kenduri-kenduri perkahwinan yang diadakan di rumah pengantin perempuan biasanya adalah lebih banyak dan lebih mewah daripada kenduri-kenduri yang diadakan di rumah pengantin lelaki. Selepas tinggal di rumah suaminya selama beberapa hari, isteri baru itu yang diiringi oleh suami dan ibu bapa mertuanya akan kembali ke rumah perempuan untuk mendiami sekurang-kurangnya beberapa bulan. Pada kepulangannya ini, sebuah kenduri yang kecil akan diadakan.
           







            Cinta dan kasih tidak kan mati,
Andainya hati saling berpaut,
            Dari mata turun ke hati,
            Dari hati terus terpaut.





-AIMI-










2 comments: